Monday, October 5, 2009

Pada Menjelaskan Kesamaran dalam Hadith Al-Jariyyah

Cahaya-cahaya Yang Cerah
Pada Menjelaskan Kesamaran dalam Hadith Al-Jariyyah
Pendahuluan
Bismillah... Alhamdulillah... Segala puji hanyalah bagi Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Sempurna sifat-sifatNya. Maha Suci Allah, Tuhan yang tiada sesuatupun menyerupaiNya dan tiadalah Dia menyerupai sesuatupun daripada makhlukNya. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan yang disifatkan oleh mereka yang sesat daripada jalan kebenaran.
Selawat dan salam buat junjungan besar lagi agung, penghulu kita, pemimpin kita, pemberi syafaat kepada kita dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa, Saidina wa Maulana wa Habibina wa Qurrati 'Uyunina, Saiyyidi Al-Khalq wa Khairi Al-Bariyyah, Saidina Rasulillah s.a.w. serta para ahli keluarga Baginda yang mulia, dan para sahabat Baginda yang diredhai oleh Allah yang Maha akan dibahaskan pada risalah ini. Oleh yang demikian, dengan bantuan Allah, alfaqir cuba mengkaji perbahasan tentang hadith Al-Jariyyah ini, dengan merujuk kepada perbahasan-perbahasan ulama' muktabar dari kalangan ahlus-sunnah wal jamaah, samada salaf mahupun khalaf dalam rangka untuk menjelaskan kesamaran bagi mereka yang berada dalam kesamaran, dan bagi memberi penjelasan kepada mereka yang dalam keraguan, dengan bantuan, petunjuk, sokongan dan pemeliharaan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemberi Hidayah dan Bantuan. Dialah yang Maha Pemberi Hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan tiada yang dapat memberi hidayah selainNya, kepada orang yang tidak diberi hidayah olehNya. Semoga Allah terus memberi taufiq dan hidayah kepada alfaqir dan seluruh umat Islam, khususnya bagi mereka yang kesamaran dalam mengikut fitnah golongan-golongan yang sesat lagi syaz.
Semoga Allah s.w.t. menerima amalan alfaqir yang penuh kekurangan ini, dalam rangka untuk bernaung di bawah rahmatNya yang abadi, agar Allah s.w.t. terus memelihara diri yang hina ini dan seluruh umat Islam yang diberkati, dalam kebenaran yang dibawa oleh Saidina Muhammad pembawa rahmat buat sekalian alam ini.
Amiin...
Fasal Pertama: Hadtih Al-Jariyyah: Suatu Penelitian dan Perbandingan
Bila semua manusia, siapa sahaja cuba berbicara tentang agama, tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka, lalu bersikap cuba menonjol dengan mempopularkan fahaman-fahaman yang terpinggir lagi merosakkan agama, maka ianya boleh membawa kepada fitnah yang besar terhadap para penganut agama Islam seluruhnya.
Bertolak daripada kesedaran itulah, maka penulis yang penuh kejahilan ini, berbekalkan secebis keupayaan yang diberi melalui bantuan Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi, serta dengan keberkatan didikan para guru yang dikasihi, cuba menghimpunkan perbahasan-perbahasan sebahagian para ulama' Islam yang muktabar lagi dipercayai, dalam menjelaskan permasalahan yang sering menjadi fitnah yang dikembangkan oleh pelopor fahaman tajsim dan para pengikutnya yang sekadar bertaqlid membuta-tuli, iaitulah masalah hadith Al-Jariyyah.
Sebahagian golongan bid'ah menggunakan hadith ini untuk membela fahaman tajsim mereka, lalu menuduh mereka yang tidak sehaluan dengan "kesesatan fahaman tajsim" mereka (iaitulah golongan ahlus-sunnah) sebagai "sesat" belaka, bahkan mendakwa majoriti ulama' Islam dan umatnya yang berpegang dengan aqidah sejahtera (iaitu aqidah Allah s.w.t. wujud tanpa tempat dan rupa), sebagai pengikut hawa nafsu yang tercela.
Padahal, demi sesungguhnya, pada hakikatnya, mereka yang menetapkan "tempat" bagi Allah s.w.t.-lah yang terus terleka dengan nafsu mereka, dengan sibuk mengikut mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dalam masyarakat Islam secara amnya. Merekalah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. sebagai pengikut mutasyabihat (yattabi'un ma tasyabaha) dengan tujuan menyebarkan fitnah dalam agama (ibtigha al-fitnah), samada mereka sedarinya atau tanpa menyedarinya.
Kejahilan...Hanya kerana Kejahilan
Andainya mereka kembali kepada jalan petunjuk yang nyata, melalui proses berguru dengan para ulama' yang mewakili majoriti ulama' Islam yang amanah lagi beraqidah sejahtera, lalu bersikap sebagai penuntut ilmu yang terbuka, tanpa ta'asub dan tanpa tergesa-gesa, nescaya mereka tidak akan tersesat dan terpedaya dengan mereka yang telah terlebih dahulu tersesat sebelum mereka.
Mereka menutur kata-kata yang zahirnya seolah-olah menyokong apa yang mereka dakwa, padahal jika dinilai dengan neraca ilmiah yang sempurna, akan terzahir hakikatnya adalah sebaliknya. Hanya kerana kejahilan yang nyata, akhirnya menyebabkan mereka terus terkeliru dengan mutasyabihat dan tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengannya.
Mereka berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat dengan "cara" berinteraksi dengan muhkamat (ayat yang mengandungi makna yang jelas dan tepat), lalu mendustai orang-orang awam yang tidak pernah kenal beza antara mutasyabihat dengan muhkamat.
Akhirnya, mereka hanya menang sorak, di sebalik membuat rosak, namun masih tetap rasa bongkak. Ini suatu gejala negatif yang mana jika ulama'-ulama' muktabar terdahulu masih ada di zaman ini, pasti merekalah yang berada di barisan hadapan untuk menghadapi golongan yang membawa kesesatan ini. Inilah amanah ilmu Allah s.w.t., untuk menjelaskan yang mana betul dan yang mana salah, bukan sekadar menghiasi penulisan dengan hujah-hujah, namun berteraskan kefahaman yang salah.
Bukan Semua Hadith yang Sahih Sanadnya Ditetapkan Makna Zahirnya
Suatu yang tidak jelas di sisi orang-orang awam dan sebahagian penuntut ilmu yang berguru dengan buku semata-mata, bahawasanya dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah mengandungi nas-nas mutasyabihat yang mana zahirnya bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t.. Ia hadir dalam bentuk kiasan atau secara hakikat yang hanya diketahui maknanya oleh Allah s.w.t..
Kalaulah semua orang yang menggunakan zahir hadith sahih dianggap sebagai mengikut kebenaran, sudah tentu golongan yang mendakwa diri bergabung dengan tuhan (hulul atau ittihad) juga dianggap sebagai mengikut kebenaran kerana mereka mendakwa berhujah dengan makna zahir yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang berbunyi:
Firman Allah s.w.t. dalam hadith qudsi: "...sekiranya hamba tersebut sentiasa mendekatkan dirinya kepadaKu dengan amalan-amalan sunat (setelah amalan wajib dilaksanakan) maka (sehinggalah setelah itu) Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, Aku adalah penglihatan yang dia melihat dengannya, Aku adalah tangan yang dia menggunakannya dan Aku adalah kaki yang dia gunakan untuk berjalan dengannya..." (Hadith riwayat Al-Bukhari no. 6021)

Adapun jika seseorang berpegang dengan hadith ini secara zahir, nescaya dia akan mengikut fahaman sesat golongan hulul dan ittihad yang mendakwa Allah bersatu dalam dirinya. Ini suatu kesesatan yang nyata, biarpun mendakwa menggunakan hadith yang sahih juga. Ia bukan masalah hadith itu sahih semata-mata, tetapi adakah makna hadith tersebut suatu yang jelas atau kesamaran.
Imam Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari ketika mensyarahkan hadith tersebut mendatangkan empat makna yang mana kesemuanya adalah kiasan bagi perkataan-perkataan tersebut kerana "makna zahir" daripada nas tersebut tidak layak bagi Allah s.w.t..
Imam Ibn Hajar berkata pada mula ulasannya tentang lafaz hadith tersebut:: "Maka telah berlaku kemusykilan bahawasanya, bagaimana Allah menjadi pendengaran dan penglihatan hambaNya?..."

Kemudian Imam Ibn Hajar r.a. sendiri menjelaskan bahawasanya zahir lafaz tersebut membawa kemusykilan dan membawa maksud Allah s.w.t. menjadi pendengaran dan penglihatan hambaNya yang mustahil bagi Allah s.w.t..
Oleh yang demikian, setelah itu beliau mengulas bahawasanya lafaz tersebut bukanlah dengan maknanya dari sudut bahasa, atau dari sudut zahir, tetapi dengan makna kiasan atau perumpamaan yang menunjukkan pemeliharaan Allah s.w.t. ke atas anggota hambaNya dan sebagainya. Boleh rujuk Fath Al-Bari dalam syarah tentang hadith tersebut.
Beliau juga merujuk perkataan Imam At-Thufi yang berkata:: "Telah sepakat ulama' bahawasanya perkataan tersebut adalah majazi dan kiasan dengan maksud bantuan Allah ke atas hamba tersebut dan sokongan serta pertolonganNya ke atasnya." (fath Al-Bari)
Ini jelas menunjukkan ada sebahagian nas-nas hadith walaupun sahih, tetapi hadir dalam bentuk mutasyabihat yang mana zahirnya bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t.. Hanya kerana kejahilan dan ta'assub sahaja, seseorang itu tidak dapat memahami hakikat ini, lalu berusaha keras menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. dengan hadith Al-Jariyyah yang juga sama kedudukannya dengan hadith Al-Bukhari ini (iaitu dari kalangan nas-nas mutasyabihat).
Oleh yang demikian, suatu pendirian yang sangat jelas apabila berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat adalah tidak memahaminya dengan makna zahirnya.
Hal ini dijelaskan sendiri oleh Imam Hasan Al-Banna sebagaimana yang dinukikan lalu dipersetujui oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya fusulun fi Al-Aqidah. Imam Hasan Al-Banna ada menyebut:

"Sesungguhnya, menetapkan makna zahir (bagi nas-nas mutasyabihat) adalah suatu Tajsim (menjisimkan Allah) dan Tasybih (menyamakan Allah dengan makhluk) kerana zahir lafaz tersebut adalah apa yang telah diletakkan makna baginya (berdasarkan ilmu bahasa Arab itu sendiri)."Maka tiada makna 'yad' (tangan) secara hakikat (secara zahir atau secara makna lughowinya) kecuali anggota badan dan begitu juga selainnya (seperti Allah fi As-Sama' dll)."Manakala mazhab As-Salaf ttidak berpegang secara zahir pada ayat dan hadith tersebut tetapi tidak langsung menyentuh dan berbahas mengenainya sama sekali"
Beliau berkata lagi:
"Salaf dan khalaf bersepakat bahawasanya apa yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. melalui nas-nas mutasyabihat bukanlah dengan makna zahirnya..."

Ditulis dalam Majmuk Rasa'il Imam As-Syahid Hasan Al-Banna pada kitab Al-Aqoid m/s 408-418yang dinukilkan dalam fusulun fi Al-Aqidah oleh Dr. Al-Qaradhawi m/s: 34.
Oleh yang demikian, Imam Ibn Al-Jauzi terlalu kuat mengkritik sebahagian pengaku sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal namun berfahaman musyabbihah dan mujassimah yang menisbahkan fahaman tersebut kepada Imam Ahmad r.a..
Beliau berkata dengan lantang:

"Janganlah kamu melakukan bid'ah terhadap mazhab ini (Hambali) yang sememangnya bukan daripada mazhab ini sendiri iaitu kamu membicarakan hadith (yang mutasyabihat) lalu menetapkannya hadith berkenaan secara zahirnya... Jika sesiapa yang mendakwa : "Allah bersemayam dengan DzatNya maka sesungguhnya dia telah menjadikan Allah sesuatu yang terbatas dengan kebendaan (hissiyyat). Bahkan, kita tidak boleh mengabaikan suatu neraca yang ditetapkan secara asal oleh syariat iaitulah "akal" itu sendiri. Dengan "akal" jugalah kita mengenal Allah s.w.t. dan mengenal sifat qadimNya. Kalau kamu sekadar membacakan hadith (menyebut lafaz) kemudian berdiam diri daripada membicarakannya (tidak memperincikan lafaz mutasyabihat) tersebut nescaya tiada orang yang mengingkari kamu. Masalahnya adalah, kamu menetapkannya (lafaz mutasyabihat tersebut) dengan makna zahirnya yang buruk (tidak layak bagi Allah). Janganlah kamu memasukkan (menisbahkan) kepada mazhab lelaki yang soleh lagi salaf (Imam Ahmad) ini apa yang bukan daripada mazhab itu sendiri. Kamu telah menutup mazhab ini (Imam Ahmad) dengan kain sesuatu yang buruk sehingga menyebabkan orang lain menyangka pengikut mazhab Hanbali sebagai Mujassim.
"(Keburukan) Kedua (Golongan Mujassimah yang berselindung di sebalik mazhab Hanabilah:

Kamu katakan hadith-hadith tersebut sebagai mutasyabihat yang tiada orang mengetahuinya kecuali Allah. Kemudian kamu kata: "kita tetapkan maknanya dengan makna zahirnya". Sangat menghairankan (kefahaman kamu wahai mujassimah), di mana seolah-olah kamu mengatakan tiada yang mengetahui "makna" mutasyabihat melainkan Allah s.w.t. adalah makna zahir itu sendiri (maksudnya: kalau memang makna mutasyabihat adalah makna zahirnya, maka apa sebenarnya yang hanya diketahui oleh Allah)? Bukankah makna zahir bagi istiwa' itu bermaksud duduk (yang membawa kepada tajsim)?". (Daf' Syubah At-Tasybih rujuk muqoddimahnya, oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.).
Allahumma faqqihna fiddin wa 'allimna at-ta'wil..
Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 2
Dicatat oleh IbnuNafis
Label: Soal Jawab Aqidah
Latar Belakang Hadith Al-Jariyyah (Hamba Perempuan)
Berdasarkan suatu kajian yang meluas, hadith berkenaan dengan kisah Al-Jariyyah ini didapati diriwayatkan dalam banyak riwayat. Namun sebahagian mereka yang jahil meletakkannya secara "salah tempat". Akhirnya mulalah mendakwa bahawasanya Allah s.w.t. wujud secara "bertempat". Sudahlah mereka tersesat, namun masih terus mengajak manusia selain mereka untuk sama-sama sesat.
Mereka menggunakan hadith ini untuk membela kesesatan fahaman tajsim mereka, dengan harapan dapat mempengaruhi semua manusia. Namun, golongan ahli ilmu yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pembelajaran yang meluas dalam ilmu agama, mana mungkin terpengaruh dengan bid'ah tajsim yang cuba dijaja.
Adapun tentang hadith ini, jika kita menyingkap seluruh riwayat yang berkaitan dengan kisah ini, maka kita dapati bahawasanya
nama Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a., yang ketika peristiwa dalam riwayat tersebut, masih baru memeluk Islam, dan tidak mempunyai latar belakang mengenai ilmu Islam yang banyak.
Kita mulakan perbahasan ini dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim terdahulu kerana ianya menceritakan dari awal peristiwa tersebut. Kisah ini bermula ketika Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a. sedang mengerjakan solat, tiba-tiba beliau terdengar seseorang bersin. Lalu Saidina Mu'awiyah tersebut mengucapkan:Maksudnya: "Semoga Allah merahmatimu".

Lalu para sahabat r.a. yang lain di samping Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah Saidina Mu'awiyah r.a. dengan pandangan seolah-olah mengingkari perbuatan tersebut (membaca doa kepada orang yang sedang bersin ketika dalam solat).
Lalu, Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah mereka lalu berkata:Maksudnya: "Apa sebab kamu semua memandang kepadaku?"
Lalu para sahabat r.a. meletakkan tangan mereka pada mulut mereka sebagai isyarat menyuruh Saidina Mu'awiyah berdiam. Lalu Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam pun tidak berkata-kata lagi.
Setelah selesai solat, Rasulullah s.a.w. tanpa marah walau sedikitpun, sebaliknya memberi nasihat secara berhikmah kepada Saidina Mu'awiyah dengan bersabda:Maksudnya: Sesungguhnya solat ini tidak boleh padanya ada perkataan manusia (tidak boleh berkata-kata). Sesungguhnya yang disebut hanyalah tasbih, takbir dan bacaan Al-Qur'an.
(Peristiwa ini secara jelas diriwayatkan oleh Imam Muslim di bahagian awal hadith ini yang sering diabaikan oleh sebahagian golongan mujassimah).
Peristiwa ini yang paling penting dalam hadith Al-Jariyyah ini khususnya di sisi Imam Muslim ketika meriwayatkan hadith ini dalam kitab Sahih beliau. Ia merupakan suatu peristiwa di mana seorang sahabat tidak mengetahui bahawa tidak boleh berkata-kata ketika dalam solat. Inilah tujuan sebenar Imam Muslim meriwayatkan hadith ini dalam kitab sahihnya, namun sebahagian mujassimah yang mengikut hawa nafsu mereka, membuang peristiwa di atas lalu memfokuskan kepada kisah Al-Jariyyah (yang berlaku setelah peristiwa pertama ini), sedangkan maksud Imam Muslim adalah pada peristiwa pertama ini (iaitu: dalil tidak boleh berkata-kata di dalam solat).
Dalam riwayat Imam Muslim juga, setelah itu Saidina Mu'awiyah r.a. berkata: "Atau apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.".
Ayat ini menunjukkan bahawasanya Saidina Mu'awiyah r.a. tidak mengingati lafaz-lafaz Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa tersebut secara jelas ketika meriwayatkannya. Oleh kerana itulah, beliau menambah ungkapan ini kerana tidak yakin ketepatan lafaz yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. walaupun tidak menjadi suatu kesalahan bagi seseorang meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. dengan makna (lafaz daripada susunan perawi sendiri dalam menjelaskan makna sabda Nabi s.a.w. tersebut).
Sengaja alfaqir menumpukan nota penting ini kerana ianya sangat berperanan dalam menggambarkan "cara" periwayatan hadith ini melalui jalan Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a.. "Cara" periwayatan ini penting dalam menjelaskan kedudukan "lafaz-lafaz" hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada jalan Saidina Mu'awiyah ini. Ia lebih berbentuk "meriwayatkan dengan makna (al-riwayah bil ma'na)" atau ada unsur 'amal Al-Rawi (campur tangan perawi dalam lafaz hadith).
Kemudian, kita lanjutkan lagi hadith ini:-
Kemudian Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w.:"Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini masih baru tempohnya dengan waktu jahiliyyah (maksudnya, masih baru memeluk Islam dan masih baru meninggalkan zaman Jahiliyyah. Oleh yang demikian, banyak perkara tentang Islam yang beliau perlu kepada lebih penjelasan)."
Dalam perkataan ini menggambarkan latar belakang kedudukan sahabat yang meriwayatkan hadith ini sebagaimana yang dikeluarkan oleh Imam Muslim tersebut, iaitu masih baru memeluk Islam dan tidak banyak tahu tentang Islam sehingga tidak tahu bahawasanya tidak boleh berkata-kata di dalam solat seperti yang dibincangkan sebelum ini. Ini nota yang sangat penting kerana latar belakang seseorang perawi mempengaruhi "cara" beliau menggunakan lafaz-lafaz dalam meriwayatkan hadith secara makna yang akan dibincangkan setelah ini.
Kembali kepada hadith:-
Saidina Mu'awiyah bertanya tentang beberapa hukum seperti bertemu bomoh, menilik nasib, membuat ramalan dengan perubahan persekitaran seperti meramal sesuatu baik atau buruk dengan arah burung terbang (tathoyyur) dan sebagainya.
Setelah itu, barulah Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam menceritakan tentang seorang jariyah (hamba perempuan) yang dimilikinya.Beliau berkata::
"Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembala kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaniyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing di bawah tugas pemeliharaannya (hamba perempuan tersebut). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam, oleh yang demikian aku juga ada perasaan tidak berpuas hati sebagaimana mereka (manusia lain juga yang ada rasa tidak puas hati). Namun (apabila kambingnya dimakan serigala) aku menampar hamba perempuan tersebut dengan tamparan (pukulan) yang kuat. Maka aku pergi lagi berjumpa Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menyalahkanku atas perbuatanku.
Saya lalu berkata:

"Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?"
Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bawa dia kepadaku".

Setelah hamba perempuan itu datang lalu Rasulullah s.a.w. diriwayatkan bersabda (melalui riwayat Imam Muslim ini): "AinaLlah? (Salah satu lafaz mutasyabihat) iaitu mana Allah?".
Hamba tersebut menjawab:: "Di langit".

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:
"Siapakah aku?"
Hamba perempuan itu menjawab:
Maksudnya: "Kamu Rasulullah"
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Merdekakanlah dia. Sesungguhnya dia seorang yang beriman."
Hadith dengan "lafaz" ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya seperti berikut:
Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. meriwayatkan kepada:
'Atho' bin Yasar yang meriwayatkan kepada:
Hilal bin Abi Maimunah yang meriwayatkan kepada:
Yahya bin Abi Kathir yang meriwayatkan kepada:
Hajjaj As-Showwaf yang meriwayatkan kepada:
Ismail bin Ibrahim yang meriwayatkan kepada:
Abu Ja'far Muammad dan Abu Bakr bin Abi Syaibah yang meriwayatkannya kepada:
Imam Muslim yang meriwayatkannya dalam Sahihnya.
Pengkajian Kedudukan Perawi: Adapun tentang Hilal bin Ali bin Usamah (iaitu Hilal bin Abi Maimunah), maka sebahagian para nuqqad (ahli pengkaji sanad hadith) menyatakan seperti berikut:-
Imam Abu Hatim berkata: "Dia seorang sheikh yang ditulis hadithnya". Ungkapan ini menunjukkan kepada darjat hasan atau sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam kitab Al-Muqizhoh.
Imam An-Nasa'ie berkata:
" tidak mempunyai sebarang masalah (tohmahan)"
(Siar A'laam An-Nubala 5/265). Ini juga merujuk kepada darjat sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam Al-Muqizhoh.
Imam Az-Zahabi berkata:

"Adapun perkataan seperti fulan laisa bihi ba's...maka ungkapan sebegini jayyidah (baik atau hasan) tidak membawa kepada dha'ifnya sheikh (perawi) bahkan sememangnya tidak setinggi darjat sahih yang sempurna yang disepakati kesahihannya. Tetapi, banyak daripada ungkapan yang kita sebutkan tadi (termasuklah fulan laisa bihi ba's) saling bercampur aduk penilaian mengenainya antara mereka yang menjadikannya sebagai hujah dengan mereka yang tidak menjadikannya sebagai hujah..."
(rujuk Al-Muqizhoh m/s 82)
Dalam erti kata lain, hadith yang diriwayatkan melalui jalan Hilal bin Ali (Abi Maimunah) ini berdarjat hasan atau darjat sahih yang rendah, demikian sebagaimana yang dikatakan juga oleh Imam Al-Hafiz Ya'qub bin Sufian dan Al-Hafiz Ibn 'Abd Al-Bar. Imam Ibn Hajar juga meletakkannya dengan darjat thiqah (darjat ketiga daripada dua belas peringkat perawi yang disusun oleh Imam Ibn Hajar dalam Taqrib At-Tahzib).
Dalam masa yang sama, salah seorang perawi dalam hadith ini yang turut diperkatakan oleh sebahagian para ulama' hadith adalah Yahya bin Abi Kathir. Menurut Imam Al-Kauthari dalam ta'liqat Al-Asma' wa As-Sifat m/s 532, sebahagian ulama' hadith menetapkan bahawa Yahya bin Abi Kathir tersebut sebagai mudallis (pelaku kesamaran).
Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Taqrib Az-Tahzib berkata tentang Yayha bin Abi Kathir: "Dia ialah seorang yang dipercayai dan teliti namun ada melakukan tadlis (melakukan kesamaran dalam riwayat) dan irsal (terputus sanad dari satu tobaqot)...".
Namun, beliau masih lagi thiqah walaupun tidak mencapai darjat sahih yang tinggi dengan sebab tadlis. Oleh sebab itu, riwayat beliau diterima oleh kebanyakkan perawi hadith termasuklah Imam Al-Bukhari.
Ini jalan pertama atau riwayat pertama berkenaan hadith Al-Jariyah ini, yang sering digunapakai oleh sebahagian golongan mujassimah tanpa membuat analisa yang lebih mendalam. Secara jelas hadith ini tidak mencapai suatu darjat kesahihan yang tinggi bahkan dari suatu sudut walaupun tidak jatuh kepada dho'if tetapi sekadar hasan atau sahih yang rendah kedudukannya. Lebih besar lagi penilaian terhadap hadith ini adalah, apabila dibandingkan dengan jalan-jalan periwayatan yang lain dalam konteks yang sama yang lebih kuat berbanding riwayat Imam Muslim ini yang akan dibincangkan kemudian di bagian ke 2

No comments:

Post a Comment